Pertumbuhan pesat industri perikanan di rantau Asia Tenggara sejak akhir 1970-an telah menyebabkan peningkatan kapasiti penangkapan ikan, terutamanya dengan pengenalan peralatan menangkap ikan yang sangat berkesan seperti pukat tunda dan pukat cincin serta peningkatan kapasiti kilang pemprosesan. Peningkatan armada menangkap ikan di seluruh rantau ini, digabungkan dengan pertambahan kapasiti penuaian yang pesat, tidak diiringi dengan pembangunan kapasiti nasional dan kerjasama serantau/sub-serantau untuk menguruskan usaha penangkapan dengan mengambil kira kelestarian sumber perikanan. Isu pengurusan kapasiti penangkapan ikan telah dibangkitkan di peringkat serantau dan antarabangsa kerana fenomena penggunaan input menangkap ikan secara berlebihan dan overkapitalisasi dalam perikanan. Pengurusan kapasiti penangkapan ikan merupakan elemen utama yang memastikan penggunaan sumber perikanan secara lestari. Oleh itu, skim pengurusan perikanan yang berkesan tidak hanya memberi tumpuan kepada pengurusan “ikan”, tetapi juga mengawal usaha penangkapan melalui pembangunan skim yang memberi panduan mengenai lokasi dan kaedah penangkapan, jumlah maksimum kapal dan jenis peralatan, sekatan khas terhadap kawasan dan spesies yang dilindungi, serta sekatan bermusim. Justeru, terdapat keperluan mendesak bagi negara-negara untuk bekerjasama bagi meningkatkan pengurusan perikanan, terutamanya berkaitan pengurusan kapasiti penangkapan ikan di peringkat nasional, sub-serantau dan serantau.
RPOA-Capacity telah disokong oleh Mesyuarat ke-48 Majlis SEAFDEC pada April 2016, diikuti Mesyuarat ke-24 Kumpulan Kerja Sektor ASEAN bagi Perikanan (ASWGFi) pada Jun 2016, dan diterima pakai oleh Mesyuarat ke-38 Menteri ASEAN bagi Pertanian dan Perikanan (AMAF) pada Oktober 2016. RPOA-Capacity telah digunakan sebagai panduan bagi AMS dalam usaha mereka untuk mengurus dan mengawal kapasiti penangkapan ikan bagi memastikan penggunaan sumber perikanan secara lestari di perairan masing-masing. Matlamat utama RPOA-Capacity adalah untuk memudahkan pembangunan pengurusan kapasiti penangkapan ikan yang sesuai bagi memastikan tahap usaha penangkapan setara dengan penggunaan lestari sumber perikanan yang tersedia.
Konsultasi Teknikal Serantau mengenai Pelan Tindakan Serantau bagi Pengurusan Kapasiti Penangkapan Ikan (RPOA Capacity) telah diadakan pada 8 Disember 2020 secara dalam talian. RTC RPOA-Capacity ini dihadiri oleh wakil daripada Brunei Darussalam, Kemboja, Indonesia, Malaysia, Myanmar, Filipina, Thailand, dan Vietnam; tenaga pakar dari FOA/RAP; Timbalan Setiausaha Agung, pegawai kanan dan pegawai dari Sekretariat SEAFDEC, Jabatan Latihan (TD) dan MFRDMD.
Objektif mesyuarat adalah:
a. Mengemas kini maklumat mengenai status pelaksanaan kapasiti penangkapan ikan (RPOA-Capacity) di AMS.
b. Mencari hala tuju bagi pelaksanaan NPOA dan RPOA-Capacity di AMS.
Hasil yang dijangka daripada mesyuarat ini adalah:
a. Maklumat terkini mengenai pelaksanaan RPOA Kapasiti Penangkapan oleh negara-negara.
b. Mencadangkan dan/atau menyemak semula aktiviti bagi NPOA dan RPOA Kapasiti Penangkapan pada masa hadapan.